Isnin, 8 Mac 2010

Memahami erti bekam


SEORANG ahli bekam dari California, Amerika Syarikat, Dr. Michael Reed Gach dalam bukunya, Potent Poins: a Guide to Self Care For Common Ailments, terpaksa akur dengan kehebatan rawatan perubatan bekam yang menjadi penawar kepada pelbagai penyakit. Lantas beliau menyarankan agar ia diterapkan di dalam kehidupan seharian masyarakat di Barat, setelah melakukan pelbagai kajian saintifik mengenai bekam dan terbukti keajaiban rawatan ini yang tiada tolok bandingannya.

Begitu juga dengan penelitian oleh Kohler D (1990) sehingga diterbitkannya buku yang berjudul, The Connective Tissue as The Physical Medium for Conduction of Healing Energy in Cupping Therapeutic Methode.

Bahkan bukan Barat sahaja mengakui kehebatan perubatan bekam ini. masyarakat di negara China dan Korea turut telah mempraktikkan ilmu perubatan warisan nabi ini sejak ribuan tahun dahulu hinggakan ramai beranggapan bahawa mereka inilah pelopor kepada perubatan ini.

Sekali gus sewenang-wenangnya mengakui ia milik mereka. Walaupun ia menggunakan istilah-istilah atau nama berbeza, tetapi prinsip kerja atau metodnya adalah sama seperti bekam; menyedut, mengumpul dan mengeluarkan darah kotor.

Sedangkan hakikatnya, bekam atau dalam istilah bahasa Arabnya, al-Hijamah adalah ilmu perubatan warisan Nabi yang hampir dilupakan oleh umat Islam itu sendiri. Kata-kata penegak ini ini bukan omongan kosong.

Buku karangan Syihab Al-Badri Yasin yang bertajuk Al-Hijamah Sunnah Nabawiyah wa Mu'jizah Thoyyibah telah menyenaraikan himpunan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW mengenai ajaran dan saranan baginda berkenaan dengan bekam.

Rasulullah SAW telah lama mengajarkan kepada kita mengenai ilmu perubatan yang efektif hampir 1,400 tahun yang lalu. Suatu terapi yang mempunyai khasiat penyembuhan yang sungguh luar biasa dan hanya terungkap sekitar abad ke 20.

Ia juga adalah salah satu cara detoksifikasi (buang racun) yang sesuai dan selamat bagi umat Islam tanpa kesan sampingan yang ketara.

Diriwayatkan dalam Shahih Bukhari, Said bin Jubair berkata dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara. Pertama minum madu. Kedua, dengan pembekaman. Ketiga, dengan besi panas, dan aku tidak menganjurkan umatku melakukan pengubatan dengan besi panas. (Shahih Bukhari)

Hadis Kedua: Dari Jabir Bin Abdillah r.a ia berkata, saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda: Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak suka berubat dengan 'kay'. (Shahih Bukhari)

Hadis Ketiga: Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Mas'ud dan riwayat Baihaqi: "Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisra'kan, kecuali mereka berkata, "Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu agar berbekam!" (Shohihul Jami': 5671)

Hadis Keempat: Tirmidzi meriwayatkan dalam Sunan-nya, dari Ibnu Mas'ud yang berkata: "Rasulullah SAW suatu ketika bercerita tentang malam ketika beliau diisra'kan, bahawa beliau tidak berlalu pada satu kelompok malaikat pun kecuali mereka menyuruh beliau dengan mengatakan" Wahai "Muhammad, Perintahkanlah umatmu untuk berbekam."

Ahmad juga meriwayatkan dalam musnadnya, sabda beliau: "Ini (bekam) adalah sebaik-baik cara pengubatan yang digunakan oleh manusia." (Al-Bashriyyin : 19237, Shohih)

Hadis Kelima: Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya cara pengubatan paling ideal yang kalian pergunakan adalah hijamah (bekam). (Shahih Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekam merupakan perintah Nabi Muhammad SAW. Bekam juga adalah terapi yang sangat dianjurkan oleh penduduk langit. Nasihat ini merupakan penghormatan para malaikat sebagai sambutan atas kunjungan Nabi SAW.

Bekam adalah nasihat emas daripada para malaikat yang berbakti kepada 'penghulu manusia' pada malam yang diberkati. Justeru, adalah sangat tidak wajar sekiranya kita yang mengakui seorang Muslim ini cuba berdolak-dalik ataupun mengabaikan kaedah pengubatan yang langsung turun dari langit ini!(Sumber Utusan Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan