Jumaat, 19 Mac 2010

Perniagaan Daripada Sudut Perspektif ISLAM


Seorang Muslim cita-cita tertingginya ialah mencapai keredhaan Allah SWT. Jika peniaga, dia ingin menjadi peniaga yang diredhai Allah, bukannya hanya mengejar kekayaan duniawi tetapi, tetapi mengejar pahala dan ganjaran keTaqwaan dari Allah melalui khidmat dan barangan yang ditawarkan kepada manusia dan juga melalui kekayaan yang diraih yang nantinya diinfakkan ke jalan Allah. Cita-citanya tidak lain ialah untuk mencapai kedudukan peniaga yang disifatkan

Berkata Rasulullah SAW:
Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para Nabi, para Siddiqin dan para Syuhada di akhirat
(Riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Hakim dari Abu Sa'id r.a.-hadis ini Hasan)

Renungan
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Di dunia ini ada empat jenis manusia:

1. Seorang hamba yang dikurniakan Allah harta dan ilmu, lalu dengan harta dan ilmu itu ia bertakwa kepada Allah, ia menghubungkan silaturahim dan menunaikan hak/kewajipan yang sewajarnya kepada Allah. Ini adalah sebaik-baiknya kedudukan hamba.

2. Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu, tetapi tidak dikurniakan harta, lalu ia menanamkan cita-cita yang baik di dalam hatinya; Jika aku diberi harta maka aku akan lakukan sebagaimana si fulan (yang melakukan kebaikan dengan hartanya). Orang ini akan diganjari dengan niat baiknya dan kedudukannya, dan orang contohnya adalah sama di akhirat.

3. Seorang hamba yang dikurniakan Allah harta tetapi tidak diberikan ilmu, maka ia belanjakan hartanya tanpa ilmu; ia tidak bertakwa kepada Allah; ia tidak menghubungkan silaturahim dan ia mengabaikan hak Allah. Ini adalah seburuk-buruk kedudukan hamba.

4. Seorang hamba yang tidak dikurniakan harta dan juga ilmu, lalu ia berkata di dalam hatinya:

"Jika aku diberikan harta nescaya aku akan melakukan sebagai si fulan (yang melakukan kejahatan dengan hartanya)."

Orang ini akan dibalasi dengan niat dan kedudukannya, dengan orang yang menjadi contohnya adalah sama di akhirat.
(Riwayat Imam Ahmad dan at-Tarmizi dari Abi Kabsyah al-Anmari)

Kenapa Perniagaan?

Ada bermacam-macam punca rezeki di atas muka bumi hari ini, namun kenapa perniagaan yang kita pilih?

Pertama: Perniagaan adalah sumber rezeki yang diredhai Allah.

"Hai orang- orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (an-Nisa': 29)

Kedua: Perniagaan adalah pekerjaaan terbaik selepas pembuatan/pengeluaran. Nabi SAW pernah ditanya:

"Apakah pekerjaan yang paling baik di sisi Allah? Baginda menjawab: "Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap jual-beli/perniagaan yang mabrur (yang diredhai Allah)."
(Riwayat Imam Ahmad dan at-Thabrani daripada Abu Burdah r.a)


Dalam hadis di atas, Nabi SAW menyebutkan dua pekerjaan terbaik:

1. Hasil tangan sendiri (pembuatan / pengeluaran)

2. Perniagaan yang diredhai Allah

Ketiga: Perniagaan merangkumi 9/10 punca rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu berniaga kerana sesungguhnya sembilan bahagian dari rezeki berada di dalam perniagaan." (Riwayat Ibrahim al-arabi dari Na'im ibn Abdurrahman)

Keempat: Perniagaan adalah bidang yang pernah diceburi oleh Nabi SAW dan beberapa sahabat besar. Ketika berusia sembilan tahun, Nabi Muhammad SAW telah dibawa bapa saudaranya, Abu Thalib bersama rombongan perniagaan ke Syam. Kemudian ketika baginda berusia 20-an, baginda keluar sekali ke Syam. Kali ini bukan hanya sebagai peserta rombongan perniagaan, tetapi sebagai pengurus perniagaan. Baginda menguruskan perniagaan milik Khadijah dengan dibantu oleh Maisarah, iaitu hamba milik Khadijah. Di kalangan sahabat-sahabat Nabi SAW tidak kurang ramai yang terbabit dengan perniagaan, terutamanya dari kelompok Muhajirin.

Antara mereka ialah:
1. Saidina Abu Bakar
2. Saidina Uthman ibn 'Affan
3. Saidina Umar al-Khattab
4. Zaid bin Arqam
5. ThalhahbinUbaidillah
6. Abdurrahman Ibn 'Auf dan banyak lagi.


Abdurrahman Bin Auf.
Di kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW, orang yang paling menyerlah dalam dunia perniagaan ialah Abdurrahman Bin Auf dari kelompok Muhajirin. la berhijrah ke Madinah dengan meninggalkan segala hartanya di Mekah. Diceritakan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Abdrurahman tatkala sampai di Madinah semasa peristiwa Hijrah, beliau dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW dengan seorang Ansar bernama Sa'ad Ibn Rabi' al-Ansari r.a. Sa'ad merupakan seorang kaya di Madinah. Maka ia berkata kepada Abdurrahman: "Aku adalah orang yang paling banyak harta di Madinah ini. Ambillah dari hartaku mana- mana yang kamu suka." Abdurrahman membalas; "Terima kasih sajalah atas tawaran kamu itu. Semoga Allah memberkati harta dan ahli keluarga kamu. Aku keberatan menerima tawaran kamu itu. Cuma tunjukkan kepadaku di mana pasar". Lalu ditunjukkan. Di pasar Madinah itulah, Abdurrahman menjalankan perniagaan dengan tekun dan dari sehari ke sehari hartanya semakin bertambah sehingga ia menjadi antara orang yang paling kaya di Madinah. Semua hartanya adalah hasil dari perniagaan. Pernah suatu hari Abdurrahman datang bertemu Rasulullah dengan membawa wang 4 ribu dirham. Dia berkata kepada baginda:"Ya Rasulullah, aku memiliki 8 ribu dirham. Aku simpan untukku dan keluargaku 4 ribu dirham dan 4 ribu dirham lagi aku ingin infakkan kepada Tuhanku. Lalu Rasulullah berkata kepadanya: "Allah memberkati harta yang kamu simpan dan juga harta yang kamu infakkan." Itulah Abdurrahman yang asalnya adalah miskin dan pendatang, namun dengan ketekunannya menjalankan perniagaan telah berjaya menjadi seorang yang kaya dan dermawan. Maka selayaknya Abdurrahman diambil sebagai contoh bagi para Muslim yang ingin berjaya di dalam perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan